Pondok Panas. Pergh. Panas3x. Hehe~
Hmm, kadang-kadang terlintas juga di fikiran. Undang-undang dah ada kenapa baru nak kuatkuasa. Kadang-kadang terlintas juga, benda dah ada kenapa nak tangguhkan perlaksanaannya. Kadang-kadang terlintas juga adakah dengan adanya perlaksanaan undang-undang ia akan memberikan kelebihan pada satu pihak dan merugikan satu pihak. Walhal itulah hakikatnya. Apabila pihak ini OK, maknanya OK. Bukan begitu.
Tapi aku sokong dengan ketiadaan pondok panas ini. Panas kalau tengok. Sakit gak mata memandang. Kalau kira ada banyak juga pondok. Terpulang kepada berapa banyak parti yang bertanding, belum tambah pondok yang SPR punya.
Tindakan untuk menguatkuasakan undang-undang ini bagus. Dan harapan agar lebih banyak lagi undang-undang yang sedia ada diperketatkan (mungkin perlu perlaksanaan terlebih dahulu). InsyaALLAH semua akan berjalan dengan lancar.
---
Sumber dipetik dari
Bernama.
Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) menjadikan pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Penanti 31 Mei ini sebagai tempat memulakan budaya baru pilihan raya yang mengutamakan ketenteraman awam dan disiplin dalam kalangan parti politik dan rakyat di negara ini.
Pilihan raya kecil Penanti bakal menyaksikan larangan berkempen dikuatkuasakan semasa hari pengundian dengan tidak membenarkan pondok panas daftar pengundi yang dikelola parti-parti politik, beroperasi untuk meraih undi.
Pelbagai pihak memberikan pandangan dan kritikan terhadap langkah ini dan Bernama menemu ramah Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, bagi mendapatkan penjelasan beliau mengenai perkara ini dan isu lain yang sering timbul menjelang pilihan raya.
SOALAN: Pertamanya kenapa larangan ini dikuatkuasakan sekarang sedangkan pindaan telah dibuat terhadap Seksyen 26 (1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, pada 2003 untuk menghalang kempen di saat akhir semasa hari pengundian. Adakah isu ketenteraman pengundi semasa pilihan raya kini di tahap kritikal?JAWAPAN: Memang saya dimaklumkan bahawa pindaan ini dibuat pada tahun 2003 untuk Pilihan Raya Umum 2004 tetapi pada masa itu, kita dapati trend penyokong parti tidak 'sepanas' sekarang. Sejak Pilihan Raya Umum 2008, seperti yang anda maklum, bukan sahaja tempat mengundi, di dalam DUN (Dewan Undangan Negeri) juga 'panas'.
Trend penyokong parti dan calon sudah berbeza. Pertama sekali bilangan penyokong parti yang hadir terlalu besar. Kedua, cara mereka juga jauh berbeza, seperti orang tidak sedar diri dan mengeluarkan perkataan-perkataan yang sangat menyakitkan hati pihak lain. Cakap kita tidak didengar langsung bahkan dibalas semula. Awak hendak lawan orang macam ini di tengah-tengah orang ramai? Jangan main-main.
Jadi dalam keadaan ini kita jangan tunggulah sampai berlaku pertumpahan darah atau kematian baru tindakan diambil. Dalam analogi lain, janganlah sampai berlaku banyak kematian di sesuatu simpang baru kita hendak pasang lampu isyarat.
Pihak polis khasnya menghadapi kesulitan dalam soal keselamatan awam, keselamatan negara di tempat berkenaan. Ditambah dengan bilangan penyokong yang semakin ramai.
Kita tidak mahu satu masa nanti pihak polis dan SPR dipersalah kerana tidak mengambil tindakan awal seperti yang berlaku semasa pilihan raya kecil Permatang Pauh.
Oleh itu, kita kena merujuk balik undang-undang Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954. Ini bukan perkara baru, aktanya sudah wujud sejak 2003. Jadi, dalam akta tersebut, iaitu Seksyen 26(4) ada menyebut boleh berkempen, tetapi hanya dalam tempoh yang dibenarkan untuk berkempen sahaja.
Sebaik saja pegawai pengurus mengumumkan penamaan calon, maka bermulalah tempoh berkempen sehingga tengah malam esoknya hendak mengundi.
Masa itu bolehlah berkempen, semak senarai nama atau apa sahaja. Boleh menggunakan sama ada pondok panas, pejabat atau bilik jawatan kuasa. Asalkan mengikut peraturan dan mendapat kelulusan polis. Sehinggalah mulai 12 tengah malam iaitu tamatnya tempoh berkempen, maka kempen tidak dibenarkan.
Saya menganggap bahawa pada hari mengundi itu adalah masa bertenang. Hari itu adalah masa mengundi, jadi pertamanya yang tidak boleh ialah adanya 'pondok panas', barung ataupun pejabat. Ia dibenarkan semasa berkempen sahaja. Itu jelas.
Keadaan hari mengundi panas sebab adanya 'pondok panas'lah. Ia bukan untuk semak senarai tetapi buat benda lain termasuk berkempen.
SOALAN: Bukankah bagi parti-parti yang bertanding, 'pondok panas' perlu untuk mereka menyemak senarai nama ahli?JAWAPAN: Seksyen 26(1) sudah jelas larangan-larangan semasa hari mengundi. Daripada pembacaan saya, dalam 50 meter dari tempat mengundi adalah kawasan larangan. Jadi kena faham apa yang boleh buat semasa tempoh berkempen dan tidak boleh buat semasa hari mengundi.
Kalau kata hendak semak senarai, jangan tunggu sampai hari mengundi. Kita sudah buat pengumuman bagi pilihan raya kecil DUN Penanti, pemilih boleh membuat semakan menerusi pelbagai kaedah sejak 8 Mei lagi.
Bagi tujuan itu, SPR di bawah undang-undang dikehendaki menyediakan barung ini dan pemilih boleh menyemak di kaunter SPR. Kita juga akan menyediakan kerani penyemak senarai yang mencukupi dan kita boleh tambah lapan hingga sepuluh orang jika bilangan pemilih di sesuatu tempat ramai.
Tetapi jika semua orang dah semak awal-awal, saya fikir bilangan yang hendak semak ini tidak ramai. Cuma masalahnya bagaimana hendak mendidik orang yang suka buat semakan di saat akhir. Saya nasihatkan pengundi-pengundi di Penanti supaya membuat semakan lebih awal.
SOALAN: Sejauh mana SPR mempunyai kuasa dalam pelaksanaan larangan berkempen ini dan hukumannya jika ada pihak atau individu yang ingkar?Jawapan: Seksyen 26(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 jelas memberi kuasa kepada SPR. Bagaimanapun, pada masa lalu perkara-perkara ini telah diberi sedikit kelonggaran oleh SPR.
Pada pilihan raya kecil di Penanti ini, SPR akan menguatkuasakan larangan ini sebagaimana yang diperuntukkan.
Bagi pihak yang ingkar, setiap kesalahan mesti ada hukumannya. Di bawah Seksyen 26(2) dan 26(3) memperuntukkan mana-mana orang yang melanggar mana-mana peruntukan subseksyen (1) boleh, apabila disabitkan, dipenjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjara atau kedua-duanya. Sesuatu kesalahan di bawah subseksyen (1) ialah kesalahan boleh tangkap mengikut pengertian Kanun Tatacara Jenayah.
SOALAN: Bagaimana dengan peranan polis semasa pilihan raya?JAWAPAN: Tugas polis pada asasnya ialah menjaga ketenteraman awam di luar Pusat Penamaan Calon, Pusat Mengundi dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi. Polis sebelum ini banyak kerja lain kerana keutamaan mereka ialah mengurangkan jenayah tetapi trend sekarang, di Ijok misalnya, baru penamaan calon sudah bergaduh.
Kita buat sesuatu berdasarkan pengalaman. Kalau dulu, duduk dekat-dekat tidak mengapa, semua orang merasai keseronokannya tetapi pengalaman mengajar kita apabila berlaku di Ijok, polis dituduh tidak buat kerja.
Sebab itu, dulu belanja tidak tinggi. Sekarang ini macam-macam berlaku. Pengalaman saya di Kuala Terengganu, FRU terpaksa turun lengkap beruniform. Mujurlah kita jarakkan 100 meter sesama penyokong parti.
Sekarang, penyokong kedua-dua parti makin ramai, sampai mencecah ratusan ribu. Jika polis tidak bantu, boleh cetuskan pergaduhan sesama parti lain. Di Penanti esok tak tahulah. Kalau kita larang dikata kita menghalang demokrasi.
Kita mencadangkan anggota polis ditambah. Bukan saja polis biasa tetapi juga FRU yang lengkap dengan segala peralatannya untuk menjaga keamanan dan kesesakan jalan raya.
Kalau kebetulan cakap kita sama pendapat parti yang satu lagi, mereka akan kata SPR memihak. Jika kenyataan kita sama dengan pandangan mereka, mereka kata ok, bagus. Jadi saya kata SPR tidak memihak. Tidak kira parti apa atau siapa yang bertanding, kita bagi layanan yang sama.
Jika mereka tidak gembira dengan keputusan SPR untuk pilihan raya, boleh bawa petisyen tetapi jika bawa petisyen, bila ada keputusan mahkamah nanti, ikutlah. Janganlah cakap itu pun salah.
SOALAN: Dalam satu laporan akhbar, menyatakan terdapat parti pembangkang yang menaikkan isu larangan mendirikan pondok panas bercanggah dengan Seksyen 24 (2)(b) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, iaitu 'pondok panas' dibenarkan dibina 50 meter dari tempat pengundian. Apakah pendirian SPR terhadap kenyataan ini?JAWAPAN: Pertamanya, ingin saya perbetulkan kenyatan tersebut. Seksyen 24(2)(b) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 itu pun dah salah. Tidak ada Seksyen berkenaan di dalam akta tersebut.
Tetapi yang ada ialah Seksyen 24B(2) iaitu 'pondok panas' dibenarkan dalam tempoh berkempen. Parti boleh membina pondok ataupun pejabat. Panggillah banyak manapun ahli-ahli parti dan sebagainya untuk semak tetapi bukan pada hari mengundi. Tidak boleh.
Pada SPR, larangan tersebut tidak bercanggah dengan Seksyen 24B (2) kerana peruntukan itu membenarkan untuk tempoh berkempen.
Seksyen 24B(2) memperuntukkan seseorang calon atau ejen pilihan rayanya boleh, semasa tempoh berkempen, membuka atau menubuhkan atau menyenggarakan pejabat di dalam bahagian pilihan raya yang baginya calon itu bertanding bagi maksud kempennya dalam sesuatu pilihan raya.
Seksyen itu tidak bercanggah dengan pendirian SPR kerana ia dilakukan dalam tempoh berkempen. Walau bagaimanapun selepas tempoh berkempen, peruntukan Seksyen 26(1) berkuatkuasa.
Selain itu, walaupun tiada di dalam undang-undang, saya mencadangkan pada hari penamaan calon terutamanya di Penanti ini, calon jangan bawa terlalu ramai penyokong. Saya mohon kerjasama sahaja. Polis anggarkan 5,000 penyokong akan berhimpun tetapi jika parti pembangkang membawa lebih ramai kita tidak boleh buat apa. Walaupun itu kebebasan berhimpun, tetapi kita bimbang jika ramai sangat yang datang.
SOALAN: SPR telah membuka pintunya kepada semua parti politik untuk mengadakan perbincangan dua hala bersama SPR. Adakah perbincangan tersebut berjaya mencapai objektifnya?JAWAPAN: Perbincangan tersebut baru dua kali diadakan. Di peringkat pertama, mereka berat hendak terima cadangan kita tentang larangan berkempen. Mereka masih memerlukan pondok panas dan minta kebenaran untuk berkempen.
Sebenarnya tujuan pertemuan tersebut adalah untuk menerangkan kenapa kita kuat kuasakan larangan ini. Kita mahu menguatkuasakan undang-undang. Pada pertemuan pertama itu, saya hanya mendengar dan tidak menolak mahupun memberi pandangan saya.
Pertemuan kedua, kita beri penerangan dari sudut undang-undang. Saya harap mereka faham maksud saya. Saya tidak ada tujuan apa-apa, bukan untuk menyusahkan mereka, bukan juga menidakkan kebolehan mereka dan sebagainya. Tetapi adalah semata-mata untuk mengikut keperluan undang-undang.
Bagaimanapun selepas pertemuan kedua, kita bersetuju mengadakan meja penyemak senarai ahli untuk parti-parti yang bertanding. Jadi kita akan benarkan hanya meja dan payung besar sahaja.
Menurut mereka, penguatkuasaan ini terlalu drastik. Sekurang-kurangnya mereka perlukan tempat menyemak senarai ahli. Disebabkan mereka masih mahukan perkara ini, mereka juga bersetuju tidak akan ada peraih dan perayu undi atau kempen. Hanya dua atau tiga orang sahaja wakil mereka di situ memandangkan SPR sendiri akan membina barungnya di luar pagar tempat mengundi dalam jarak 50 meter. Tujuannya adalah untuk memberi perkhidmatan kepada para pengundi.
Parti politik ini adalah pelanggan SPR. Jadi saya kena dengar pandangan mereka. Malah SPR juga telah ada satu panel yang diketuai seorang ahli panel SPR. Ia bertujuan mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan parti politik dan NGO. Kita merancang mengatur pertemuan ini setiap tiga bulan sekali.
Penguatkuasaan larangan ini di Penanti sebagai permulaannya (pilot project) dan ini akan menentukan kesinambungan penguatkuasaan yang berterusan dalam pilihan raya akan datang.
Ia sebagai langkah mewujudkan suatu 'budaya pilihan raya baru' yang lebih aman, berhemah dan berdisiplin di kalangan parti-parti politik dan rakyat di negara ini.
SOALAN: Apakah isu yang sering dibawa oleh parti-parti ini dalam pertemuan bersama SPR?JAWAPAN: Isu-isunya ialah isu lapuk seperti pengundi hantu, mengundi bagi pihak orang lain, satu alamat mempunyai berpuluh-puluh pengundi dan sebagainya.
Contohnya isu pengundi hantu muncul setiap kali pilihan raya. Saya selalu kata kalau ada, tangkap, bawa kepada saya. Sehingga kini seorang hantu pun tidak ada.
Sebenarnya semasa pendaftaran pemilih 2002, orang lain boleh mendaftarkan seseorang pemilih tanpa mengikut alamat kad pengenalan. Hanya selepas 2002, pemilih perlu mendaftar mengikut alamat di kad pengenalan. Saya sendiri pun tidak gembira sebab ada yang sampai sepuluh nama dalam satu alamat.
Hendak betulkan ini bukan mudah kerana SPR tidak boleh potong sesuka hati. Kita kena dapatkan pengesahan daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dulu. Hanya tuan punya nama yang boleh betulkan maklumat sendiri di JPN.
Semasa saya di Kementerian Dalam Negeri dahulu, saya sudah minta JPN mengemas kini senarai rakyat yang berumur 100 tahun ke atas. Di pihak JPN, mereka tidak boleh memotong nama begitu sahaja kecuali ada pihak yang datang beritahu. Mereka perlu bersusah payah mencari dan berjumpa dengan sanak-saudara individu berkenaan.
Sekarang individu yang berusia 150 tahun dah kurang, jika ada pun sekarang ialah 110 tahun. Itupun kita perlu kemas kini.
Bukan senang bila hendak cari alamat. Kita minta tolong Badan Bebas Pemantau Pilihan Raya Malaysia (Mafrel) dan parti politik kalaulah jumpa kubur atau saudara-mara mereka, minta maklumkan kepada SPR.
Dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya, hukumannya sangat berat, kalau menyamar jadi pengundi hantu dan menggunakan kad pengenalan palsu.
Pada SPR, isu tersebut selalu dimainkan oleh parti-parti politik tertentu. Namun ia tidak pernah dibuktikan di mana-mana mahkamah setakat ini.
SPR juga sering menyeru kepada mana-mana pihak yang membuat dakwaan untuk mengemukakan bukti berkaitan dengan tuduhan yang dilemparkan kepada SPR. Ia bagi membolehkan SPR membuat siasatan dan kesahihan perkara yang dibangkitkan itu. Namun semuanya tidak dapat dibuktikan oleh pihak yang membuat tuduhan.
SOALAN: Apakah tindakan susulan oleh SPR hasil daripada perbincangan tersebut?JAWAPAN: SPR tetap dengan pendirian akan melaksanakan penguatkuasaan larangan berkempen pada hari mengundi bermula dengan pilihan raya kecil Penanti.
Parti-parti politik perlu akur kepada Seksyen 26(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954. SPR akan bekerjasama dengan pihak polis dan sesiapa yang melakukan kesalahan di bawah seksyen ini boleh diambil tindakan.
Bagi pilihan raya kecil DUN Penanti yang bakal diadakan 31 Mei ini, para pemilih boleh melakukan semakan di laman web SPR iaitu www.spr.gov.my ataupun SMS ke 15888 dengan menaip SPR [jarak] SEMAK [jarak] nombor kad pengenalan. Pemilih juga boleh menelefon ibu pejabat SPR di 03-88856500 ataupun Pejabat SPR Negeri 04-2617692.
---