Kekeliruan terhadap tanggapan umum bahawa 'Melayu itu Islam' perlu diperbetulkan, kata Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) Datuk Mustapha Ma.
Beliau berkata terdapat perbezaan di antara agama dan kecondongan budaya.
"Oleh itu kita tidak boleh samakan Islam dengan Melayu. Semua orang Melayu adalah Islam mengikut perlembagaan tetapi bukan semua orang Islam adalah Melayu. Dan kita tidak sepatutnya mempunyai konsep yang apabila sahaja memperkatakan tentang Melayu... Melayu itu mesti Islam, yang sebenarnya ia tidak benar," katanya kepada pemberita pada mesyuarat agung ke-14 MACMA di Institut Tadbiran Islam Perak (INTIM) di sini hari Ahad.
Beliau berkata kekeliruan tanggapan itu terutama dalama kalangan masyarakat Cina menyebabkan masyarakat itu menyamakan mereka yang ingin memeluk Islam sebagai 'masuk Melayu'.
"Ini merupakan halangan kami yang paling besar. Ia tidak bermakna apabila seseorang Cina itu memeluk Islam dia perlu meninggalkan nama keluarganya. Saya masih menggunakan nama Ma," katanya.
Mustapha berkata selain memperkenalkan Islam sebagai agama universal, MACMA turut berkempen untuk mewujudkan satu suasana bahawa makanan halal adalah untuk semua tanpa mengira bangsa dan agama.
"Makanan halal bukan hanya untuk orang Islam. Selain mematuhi syarak, makanan halal juga bersih, sihat dan halal juga membayangkan kesaksamaan dan amanah. Jika jual kopi, mestilah betul-betul kopi dan bukannya campuran.
"Harga juga mesti berpatutan dan berat timbangan barangan mestilah seperti yang sepatutnya. Konsep halal mencakupi semua," katanya.
Beliau berkata Malaysia juga perlu menggunakan kepelbagaian makanan masyarakatnya untuk mempromosikan negara ini sebagai 'syurga makanan halal'.
Sumber dipetik dari
Bernama.
"Kita mempunyai pelbagai makanan halal yang terbaik pada harga paling berpatutan. Apa jua makanan boleh kita dapati di Malaysia, jadi kita boleh memanfaatkannya dan bersama-sama mempromosikannya," kata beliau.
~ Saya sangat bersetuju dengan Datuk Mustapha Ma. Memang Melayu tidak boleh disamakan dengan Islam. Islam adalah agama, Melayu adalah bangsa. Orang Islam pula bukan sahaja terdiri daripada Melayu, bahkan Cina, India, dan lain-lain. Oleh itu, jangan pula beranggapan bahawa jika kita Melayu kita telah Islam. Atau hanya Islam pada nama.
~ Teringat saya satu kisah yang diceritakan oleh Mama saya. Ada seorang dari luar negara bertanya kepadanya, "Adakah mereka itu Islam". Pada masa itu orang Melayu itu memakai pakaian yang tidak cukup kainnya. Dan Mama saya berkata, mereka bukan Islam mereka Melayu. Tetapi sebagai orang Melayu, kita sendiri berasa malu. Walhal mereka diluar sana juga beragama Islam.
~ Islam bukan terletak pada nama, ia terletak pada keimanan kita.
~ InsyaALLAH. (",)