Kesilapan Pak Lah Tidak Jawab Kritikan TDM


~ Siapa sangka, cempedak sudah menjadi nangka. Alahai Pak Lah.

~ Sumber ini dipetik dari Malaysiakini.

Penasihat Gerakan, Dr Lim Keng Yaik berpendapat, perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi silap apabila beliau tidak menjawab kritikan pedas Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap pentadbirannya, yang telah menjejaskan prestasi Barisan Nasional dalam pilihanraya 8 Mac.

"(Kritikan) Dr Mahathir telah menjejaskan mereka (Umno dan BN). Beliau mungkin seorang rakyat biasa tetapi beliau telah menjadi perdana menteri selama 22 tahun.

"Jika kepimpinan Pak Lah dan Umno merasakan Dr Mahathir salah dan apa yang dikatakannya tidak betul, mereka mempunyai hak untuk menyingkirkan beliau dan tidak perlu bimbang (berbuat demikian).

"Beritahu rakyat bahawa beliau salah. Jika beliau masih terus bercakap mengenainya dan anda tidak jawab, maka apa juga yang dicakapkan oleh beliau (Dr Mahathir) mestilah benar," katanya dalam wawancara dengan Malaysiakini di pejabat barunya di Bandar Utama, Isnin lalu.

Dalam pilihanraya umum ke-12, BN memenangi 140 kerusi parlimen tetapi gagal mempertahankan penguasaan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

BN juga tumbang di empat negeri - Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor - manakala PAS berjaya mengekalkan Kelantan dengan tambahan kerusi.

Ada pihak beranggapan, seruan Dr Mahathir bahawa Malaysia memerlukan pembangkang yang kuat turut mempengaruhi arus pengundian dalam pilihanraya umum lalu.'Angin perubahan' Ahli politik yang lantang bersuara itu yang melepaskan jawatan presiden Gerakan tahun lalu - selepas menyandang jawatan itu selama 26 tahun - turut menegur tindakan Dr Mahathir itu.

"Kritikan (beliau) mungkin betul tetapi sikap dan cara kritikan itu dibuat, tidak membantu BN atau Umno.

"Jika Dr Mahathir sayangkan Umno dan BN, beliau tidak seharusnya bertindak seperti yang telah beliau lakukan," katanya.

Lim juga ditanya mengenai pilihanraya umum lalu yang disifatkannya sebagai satu "angin perubahan baru yang bertiup" dalam landskap politik tanahair.

"Saya tidak menganggapnya sebagai satu tsunami. Tsunami membawa maksud negatif, dan kemusnahan. "Saya menyifatkannya sebagai angin perubahan baru yang bertiup dalam arena politik Malaysia," katanya.

Katanya, ini kerana politik pelbagai kaum yang disokong oleh rakyat dalam pilihanraya umum lalu, juga merupakan ideologi parti Gerakan sendiri.

1 comments:

  1. mie said...

    Abdullah Nafi Halang Najib Jumpa Dr Mahathir

    KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) -- Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini menafikan dakwaan bahawa beliau telah menghalang timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak daripada berjumpa bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

    Perdana Menteri berkata beliau tidak membuat tindakan sebegitu.

    "Tak ada halangan...tak ada," katanya ringkas ketika ditanya mengenai laporan media yang memetik Dr Mahathir sebagai berkata bahawa penggantinya, Abdullah telah menghalang perjumpaan beliau dengan Najib.

    Dr Mahathir dilaporkan sebagai berkata bahawa adalah sesuatu yang teruk jika perdana menteri tidak percayakan timbalannya.

    Dr Mahathir berkata beliau tidak bercakap mengenainya sebelum ini kerana ia satu perkara peribadi tetapi memutuskan untuk mendedahkannya kerana semakin meningkat percubaan untuk menutup mulut mereka yang tidak sehaluan dengan pucuk pimpinan parti.

    Perdana Menteri turut ditanya mengenai lawatan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Mustapa Mohamed ke Thailand untuk membincangkan isu beras dan adakah ini bermakna simpanan beras dalam negara tidak mencukupi.

    Beliau berkata kerajaan mengadakan stok penimbal beras pada masa sekarang sebagai persediaan kemungkinan harga naik pada masa depan.

    Katanya mungkin juga pihak yang mengeksport tidak akan berbuat demikian pada masa depan kerana perlu memenuhi keperluan rakyat mereka sendiri.

    "Nanti kalau tidak beli sekarang, mungkin harga naik pada masa depan.

    Mungkin pihak pengeksport tidak mahu mengeksport lagi kerana mungkin perlukannya untuk rakyat sendiri," katanya.

    Abdullah mahu Mustapa mengambil langkah segera agar stok penimbal mencukupi dan tidak berlaku kekurangan bahan makanan.  

Love Mathematics !!!

AzmIe_(,)

 


© Muhamad Azmi Bin Zulkipli
Hakcipta Terpelihara
Weblog ini telah dibina mulai 14 Oktober 2007
Sebarang pengambilan mana-mana bahagian daripada tulisan di sini perlulah mendapat izin daripada Muhamad Azmi Bin Zulkipli.
Ataupun, sila beri kredit bahawa anda mengambil mana-mana kenyataan tersebut dari blog AzmIe_(",).Terima kasih.

Inspired By lilicomel Edited By AzmIe_(",)
Blog Template by Adam Every.Sponsored by Business Web Hosting Reviews