~ Apa pandangan anda? Pada hemat saya sendiri, masalah dalaman parti perlu diberi perhatian sejajar dengan kepentingan rakyat. Jika kepentingan rakyat didahului berbanding parti, kemungkinan besar untuk berlakunya perkara-perkara sebelumnya agak besar.
~ Parti telah memberikan kesan negatif kepada ramai orang ketika ini. Dalam masa yang sama, banyak tindak tanduk yang menidakkan kebenaran, dan adakalanya keputusan yang dibuat oleh pimpinan tiada asas yang kukuh.
~ Pada hari ini bermulanya persidangan parlimen, kita juga dapat melihat bagaimana hangatnya apa yang berlaku sekarang. Jika tiada perubahan dalam parti, bagaimana dengan kepentingan rakyat, mungkin juga akan hancur begitu jua.
~ Sumber dipetik dari
Bernama.
Kerajaan akan sentiasa memberi perhatian kepada masalah dan kepentingan rakyat, terutamanya golongan berpendapatan rendah dengan melaksanakan pelbagai program bagi membantu mengurangkan beban yang mereka tanggung.
Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, walaupun Barisan Nasional (BN) kini dilanda pelbagai kemelut, namun parti akan memastikan agenda rakyat tetap diberi keutamaan.
"Oleh itu perhatian sepenuhnya mesti diberikan, BN masih lagi menjadi kerajaan Persekutuan dan masih bergerak dengan mandat yang diberikan, jadi perkara-perkara berkaitan rakyat mesti diberi keutamaan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno, di sini, hari ini.
Abdullah berkata kerajaan memandang serius isu kenaikan harga minyak yang juga menyebabkan kenaikan harga barang serta masalah-masalah yang mungkin timbul akibat kekurangan makanan.
Sehubungan itu, kerajaan akan mempercepatkan langkah mengadakan stok penimbal dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telahpun siap merangka kertas cadangan berhubung perkara itu, katanya.
Abdullah berkata, kertas cadangan itu akan dikemukakan kepada Jemaah Menteri dalam masa terdekat untuk dipertimbangkan.
Dalam pada itu, katanya kerajaan juga akan memberikan perhatian untuk memenuhi keperluan perumahan bagi golongan berpendapatan rendah dengan menyediakan rancangan perumahan yang lebih berkualiti dan lebih murah.
"Sekarang harga makanan semakin tinggi dan ini menyebabkan kemampuan untuk membeli rumah berkurangan. Bukan mudah tetapi perlu ada perancangan baru untuk golongan miskin.
"Parti tidak boleh hanya mementingkan diri sendiri tetapi harus juga mengambil kira kepentingan rakyat. Jadi di samping memberi perhatian kepada usaha mengukuhkan parti, kita tidak boleh lupa agenda untuk membantu rakyat," katanya.
Selain itu katanya, mesyuarat itu turut menyentuh isu kekurangan kaum bukan Melayu dalam perkhidmatan awam, dan mengakui keperluan membuka pintu kepada mereka untuk mengisi jawatan dalam perkhidmatan awam pada masa akan datang.
Menyentuh mengenai aspek kelemahan dalam parti yang menyebabkan kemerosotan undi pada pilihan raya umum Mac lepas, Abdullah berkata perbincangan berhubung perkara itu akan dibuat secara lebih terperinci pada mesyuarat Majlis Tertinggi BN esok.
Katanya ia bagi memberi peluang kepada anggota MT BN untuk memberi pendapat dan pandangan masing-masing.
Beliau berkata, selain menyentuh aspek kelemahan parti, perbincangan juga perlu dijuruskan bagi mengambil kira keperluan generasi muda.
Bagi Umno pula, parti tidak boleh terlalu leka dengan pemilihan parti Disember ini, katanya.
"Kita mesti memusatkan tenaga kepada apa yang perlu diberikan kepada rakyat sebagai parti yang membentuk kerajaan dan diberi mandat untuk memerintah," tambah beliau.