Ahli 'Ajar' Pemimpin UMNO Dalam Pilihanraya

Mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata ramai pemimpin Umno menemuinya selepas pilihanraya umum lalu dan mengatakan presiden Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi patut berundur.

"Tetapi apabila tibanya mesyuarat Majlis Tertinggi, tiada siapa pun yang berani membangkitkan isu ini kerana takut dituduh tidak menghormati presiden dan parti.

"Jadi presiden tidak akan mendapat maklumat yang sebenarnya, tetapi hanya yang sedap didengar telinganya (presiden)," tulisnya dalam kolum - 'Che D.E.T Menulis - keluaran terbaru tabloid politik - Era Baru.

Sehubungan itu Dr Mahathir mengulangi cadangannya supaya ditubuhkan majis penasihat presiden.

Sebelum ini, setiausaha agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Mansor dilaporkan menolak cadangan tersebut dengan alasan Umno sudah ada biro politik dan jawatankuasa pengurusan parti yang masing-masing dipengerusikan oleh Abdullah dan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Tengku Adnan juga dilaporkan berkata beliau juga tidak faham dengan cadangan tersebut.

Mengulas perkara tersebut, Dr Marathir berkata, jika tidak faham kenapa tergesa-gesa menolaknya.

‘Kerana takut'

"Apakah ahli biasa Umno tidak layak lagi untuk memberi apa-apa pandangan?

"Adakah yang layak dan pandai hanya presiden, timbalan presiden, naib presiden, setiausaha agung dan ahli majlis tertinggi sahaja?" soal Dr Mahathir.

Katanya, inilah masalah Umno dan kepimpinan parti yang ada sekarang di mana pemimpin dan ahli tidak lagi boleh menyuarakan apa-apa pendapat melainkan sokongan terhadap presiden parti.

"Sesiapa yang menyuarakan pendapat yang berlainan, atau membantah apa-apa keputusan, maka dia akan diherdik dan dicerca seluruh barisan kepimpinan Umno di dalam media massa, dihadap ke jawatankuasa disiplin," katanya.

Kerana takut, tambahnya, tidak ada mana-mana ahli pun yang bersuara.

"Tidak ada ahli yang menegur walaupun mereka sedar kepimpinan parti sudah jauh menyimpang dari perjuangan asal Umno.

"Ahli yang tidak puashati berdiam diri dan protes secara senyap.

‘Ajar pemimpin'

"Pada pilihanraya baru-baru ini, ahli Umno yang tidak puashati, tidak bersuara. Sebaliknya apabila mengundi, mereka undi parti lawan kerana protes dan hendak 'ajar' kepimpinan parti," kata Dr Mahathir.

Katanya mereka berbuat demikian kerana hendak tunjuk yang mereka sudah benci dengan kepimpinan Umno.

Akibatnya, kata beliau, Umno dan Barisan Nasional (BN) jatuh di empat negeri, tidak berupaya menawan Kelantan dan 'rebah' di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

"Walaupun menang di Perlis dan Terengganu, kepimpinan Umno, khususnya presiden parti ditolak Raja-Raja Melayu di kedua-dua negeri ini apabila istana dengan cara terbuka menolak calon menteri besar cadangan perdana menteri.

"Di Johor, usaha usaha (untuk) tukar menteri besar ditolak istana awal-awal lagi sebelum pun diadakan pilihanraya.

"Umno, khususnya presiden Umno ditolak oleh oleh ahli Umno, rakyat biasa serta Raja-Raja Melayu," tambahnya.

Mengenai majlis penasihat itu, Dr Mahathir berkata, ia perlu kerana ahli parti tidak boleh percaya kepada satu individu sahaja, dengan memberi kuasa yang begitu besar kepada individu tersebut.

‘Semak dan imbang'

Pada dasarnya, jelas beliau, ia bertujuan bertindak sebagai badan yang diberi kuasa bermusyawarah dan meluluskan keputusan yang diambil presiden.

"Ini bagi mengelak salahguna kuasa oleh individu yang berkepentingan. Walaupun kita sudah ada majlis tertinggi dan pelbagai biro, tetapi anggotanya terdiri daripada orang yang dilantik di kalangan yang berjawatan dalam parti.

"Sudah tentu mereka tidak berani menegur. Oleh itu, majlis pensihat ini mungkin boleh dianggotai golongan profesional dan ahli Umno yang berwibawa tetapi bukan dari kalangan mereka yang dilantik oleh bahagian supaya ia dapat berfungsi secara bebas," tambahnya.

Dr Mahathir berkata,mungkin juga pindaan perlembagaan Umno diperlukan untuk mengikat keputusan presiden parti kepada majlis penasihat agar terdapat ‘semak dan imbang' dalam urusan pentadbiran.

Dengan itu, katanya, presiden tidak boleh melakukan pelbagai perkara dengan sewenang-wenangnya.

Sumber dipetik dari Malaysiakini.

1 comments:

  1. mie said...

    Majoriti Anggota Umno Masih Yakin Dengan Parti, Kata Muhyiddin

    KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) -- Majoriti anggota Umno di seluruh negara masih yakin dengan semangat dan perjuangan parti terbesar orang Melayu itu bagi mengharungi masa depan, kata Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Katanya walaupun menghadapi cabaran besar hari ini selepas kehilangan lima negeri pada pilihan raya umum lepas, anggota Umno melihat parti berusia 62 tahun itu sebagai masih relevan.

    "Ramai yang masih yakin...(bahawa) masih ada harapan tinggi tetapi (pada masa yang sama) ramai berpendapat perlu satu tindakan segera tanpa berlengah diambil untuk membetulkan apa juga kelemahan dan kesalahan atau kesilapan yang menyebabkan kita ditolak sebahagian pengundi," katanya kepada pemberita ketika ditanya sejauh mana keyakinan anggota parti pada masa sekarang.

    Terdahulu, Muhyiddin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri merasmikan Pameran Metaltech 2008 dan Seminar Kebangsaan Peluang dalam Industri Kejenteraan dan Peralatan di sini hari ini.

    Muhyiddin berkata Umno sebagai parti teras Barisan Nasional (BN) dan juga parti komponen lain sudahpun memulakan langkah dan inisiatif untuk melihat apakah yang dianggap kelemahan yang wujud sama ada daripada segi kepimpinan, pengurusan parti, dasar-dasar mahupun apa-apa yang dilakukan selama ini yang menyebabkan rakyat tidak puas hati.

    "Ini sudah dimulakan melalui post mortem tidak rasmi supaya keadaan parti dapat diperkukuhkan balik," katanya.

    Muhyiddin juga ditanya mengenai laporan kononnya bekas timbalan perdana menteri dan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memegang tampuk pemerintahan negara tidak lama lagi.

    "Ini cuma ramalan...Tuhan yang lebih tahu. Ini mungkin sebahagian daripada psyche war (perang jiwa). Ini mungkin memang ada inisiatif yang dia (Anwar) buat. Jadi susah untuk kita nyatakan sama ada betul atau tidak," katanya.

    Namun Muhyiddin berkata Umno dan parti komponen BN tetap berwaspada dan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi BN baru-baru ini, komponen BN telah memberi komitmen akan memastikan wakil-wakil rakyat mereka tidak menyertai dan menyokong Pakatan Rakyat.

    "Sehingga kini tiada pemimpin parti (BN) yang berkata ada di kalangan ahli mereka yang mahu berhijrah sebelah sana (Pakatan Rakyat). Itu jaminan komponen BN. Tapi apakah kenyataan Anwar...orang kata uji kesetiaan kita, (atau) satu kenyataan yang akan berlaku, (itu) saya tidak pasti.

    "Ia merupakan spekulasi," katanya.  

Love Mathematics !!!

AzmIe_(,)

 


© Muhamad Azmi Bin Zulkipli
Hakcipta Terpelihara
Weblog ini telah dibina mulai 14 Oktober 2007
Sebarang pengambilan mana-mana bahagian daripada tulisan di sini perlulah mendapat izin daripada Muhamad Azmi Bin Zulkipli.
Ataupun, sila beri kredit bahawa anda mengambil mana-mana kenyataan tersebut dari blog AzmIe_(",).Terima kasih.

Inspired By lilicomel Edited By AzmIe_(",)
Blog Template by Adam Every.Sponsored by Business Web Hosting Reviews